Abstract
‘Irādah’ bermaksud kehendak Allah SWT, manakala ‘amr’ pula adalah perintah Allah SWT yang hanya memerintah perkara yang baik dan melarang perkara yang buruk. Jalaluddin al-Rumi (1207-1273) menggunakan metode tersendiri dalam mengumpulkan perbahasan amr dan irādah Allah SWT secara berlapik melalui prosa bait syair dalam Mathnawi. Falsafah occasionalisme pula membawa fahaman bahawa segala sesuatu itu adalah digerakkan oleh Tuhan, bagi membuktikan kewujudan Tuhan melalui campur tangan Tuhan dalam setiap perkara. Walaupun pemahaman konsep ‘irādah dan amr’ Allah SWT antara perspektif sufi Jalaluddin al-Rumi dan falsafah occasionalisme memiliki titik persamaan dalam pengakuan wujud dan kehendak Tuhan, namun wujud perbezaan apabila melibatkan perintah Tuhan dalam perbahasan ‘moral’ iaitu baik dan buruk. Perbezaan antara kedua perspektif tersebut hendaklah difahami dengan jelas dan teliti agar dapat mengelakkan berlaku kekeliruan bahawa occasionalisme Barat dan Islam itu adalah sama sahaja. Artikel ini mengkaji dan memberi fokus kepada konsep irādah dan amr Allah SWT menurut Jalaluddin al-Rumi, sekaligus membuat perbandingannya dengan falsafah occasionalisme Barat. Penulisan ini menggunakan metodologi kajian secara kualitatif melalui kaedah analisis kandungan dan metode perbandingan. Implikasi artikel ini menampakkan perbezaan antara pegangan yang diyakini oleh pemikiran Barat dan keyakinan yang sepatutnya diyakini oleh umat Islam sepertimana yang telah digariskan dalam agama Islam itu sendiri. Malah, artikel ini turut memberi penjelasan tentang kepentingan mentaati ‘kehendak dan perintah’ Allah SWT tanpa pengecualian salah satu daripadanya. Hasil kajian menunjukkan bahawa konsep irādah Allah SWT yang dibawa Jalaluddin al-Rumi itu mempunyai persamaan erat dengan falsafah ocasionalisme Barat. Ia muncul sebagai gagasan yang membela campur tangan Tuhan dalam kehidupan manusia sekaligus menolak sekularisme. Manakala, konsep amr Allah SWT pula menonjolkan keistimewaannya berbanding falsafah occasionalisme Barat kerana kepercayaan kepada Allah SWT yang ditampilkan Jalaluddin al-Rumi tidak menyisihkan sama sekali perintah-Nya yang sentiasa menjadi kewajiban hidup bagi seorang muslim yang beriman.
Publisher
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Press)