Kesignifikan Sistematik Ciri Anatomi Pina dan Stip Angiopteris angustifolia C. Presl dan A. Evecta (G. Forst.) Hoffm. [Marattiaceae] di Semenanjung Malaysia
-
Published:2021-05-31
Issue:5
Volume:50
Page:1243-1254
-
ISSN:0126-6039
-
Container-title:Sains Malaysiana
-
language:
-
Short-container-title:JSM
Author:
Talip Noraini,Ayob Siti Nor Azah,Kader Maideen Haja Maideen,Bunawan Hamidun,Abdul Rahman Mohamad Ruzi
Abstract
Kajian perbandingan ciri anatomi dan ciri mikromorfologi pina dan stip Angiopteris angustifolia C. Presl dan A. evecta (G. Forst.) Hoffm. [Marattiaceae] di Semenanjung Malaysia telah dijalankan. Sampel kajian diperoleh dari Bangi, Selangor, Bukit Fraser dan Tanah Tinggi Cameron, Pahang. Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti dan menyenaraikan ciri anatomi dan mikromorfologi pina yang boleh digunakan untuk pengecaman dan pembezaan dua spesies Angiopteris. Ciri yang ditemui boleh digunakan untuk membina kekunci pengecaman bagi kedua-dua spesies yang dikaji. Anatomi pina dan stip diperhatikan melalui kaedah hirisan dengan mikrotom gelongsor, siatan epidermis dan penjernihan serta cerapan di bawah mikroskop cahaya menggunakan perisian Cell B. Kajian mikromorfologi pula melibatkan teknik saduran emas, titik pengeringan kritikal dan cerapan di bawah mikroskop imbasan elektron menggunakan perisian SmartSEM. Ciri sepunya bagi kedua-dua spesies adalah kehadiran stel ringkas bentuk arka pada stip dan tulang pina, kehadiran sel musilaj yang agak padat pada sel parenkima korteks, peruratan tengah pina dikotom, peruratan tepi pina terbuka dan tidak bercabang dan kehadiran trikom berlengan pada tulang pina. Ciri diagnosis yang ditemui ialah peruratan palsu pada pina A. angustifolia, bentuk luaran permukaan abaksial stip A. angustifolia berbentuk bulatan lebar manakala A. evecta berbentuk ¾ bulatan. Hiasan kutikel pada epidermis abaksial pina A. angustifolia dengan dinding periklin tenggelam dan dinding antiklin timbul sebaliknya pada A. evecta dinding periklin timbul dan dinding antiklin tenggelam. Kesimpulannya, ciri anatomi dan mikromorfologi pina dan stip mempunyai nilai taksonomi yang boleh digunakan bagi pengecaman dan pembezaan kedua-dua spesies Angiopteris yang dikaji.
Publisher
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Press)
Subject
Multidisciplinary