Author:
Jing Yi Ler,Teh Arnida Hani,Abdul Rahman Hafeedza
Abstract
Kualiti fizikokimia dalam sayur-sayuran berubah semasa penyimpanan. Kajian ini menentukan perubahan fizikokimia dalam brokoli dan bunga kobis semasa penyimpanan dan menentukan keadaan penyimpanan yang paling sesuai. Uji kaji ini dijalankan berdasarkan suhu penyimpanan (4 °C dan 23 °C) dan kaedah pembungkusan (tidak dibungkus dan dibungkus dengan beg plastik polietilena) berbeza sepanjang tempoh 168 jam (7 hari). Perubahan warna, kehilangan berat (PLW), kandungan kelembapan, kandungan klorofil dan aktiviti antioksidan (kandungan jumlah polifenol (TPC) dan aktiviti penyingkiran radikal bebas (DPPH)) ditentukan pada 24-, 96- dan 168- jam. Sampel disimpan pada 4 °C dan dibungkus mengalami kehilangan fizikokimia paling minimum berbanding disimpan pada 23 °C dan tidak dibungkus. Brokoli disimpan pada 4 °C dan dibungkus dengan beg plastik polietilena mempunyai perubahan minimum bagi warna (L*= 40.63, a*= -9.88, b*= 19.71), PLW (2.03%), kelembapan (84.42%), klorofil (2.66 mg/g) dan vitamin C (122.05 mg/100 g). Manakala brokoli disimpan pada 23 °C dan dibungkus dengan beg plastik polietilena mempunyai kandungan antioksida yang lebih tinggi (171.15 mg/100 g bagi TPC, 77.66% bagi DPPH). Bunga kobis disimpan pada 4 °C dan dibungkus dengan beg plastik polietilena mengalami perubahan fizikokimia paling minimum bagi warna (L*= 67.63, a*= -1.36, b*= 4.77), PLW (0.97%), kelembapan (93.26%), klorofil (1.22 mg/g) dan vitamin C (41.92 mg/100 g). Manakala bunga kobis disimpan pada 23 °C dan dibungkus dengan beg plastik polietilena mempunyai kandungan antioksida yang lebih tinggi (167.64 mg/100 g bagi TPC, 85.51% bagi DPPH). Justeru, keadaan penyimpanan yang paling sesuai bagi sampel brokoli dan bunga kobis adalah pada suhu 4 °C dan dibungkus dengan beg plastik polietilena.
Publisher
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Press)