Author:
Sauti Noor Suhaiza,Daud Mohd Effendi,Kaamin Masiri,Remali Najihah
Abstract
Gempa bumi yang berlaku pada 26 Disember 2004 telah mencetuskan gelombang tsunami terbesar menyebabkan limpahan tersebar di seluruh Lautan Hindi. Impaknya mengakibatkan kerosakan yang luas, kehilangan harta benda dan kehidupan terjejas di sepanjang pantai meliputi 12 negara di sepanjang Lautan Hindi. Kehilangan nyawa juga melibatkan rakyat dari 27 negara dari bahagian lain di dunia termasuklah di Malaysia terutamanya di pantai barat Semenanjung Malaysia. Kesignifikanan daripada bencana tsunami di Lautan Hindi ini, suatu tindakan persediaan dan mitigasi perlu dilaksanakan oleh pihak pengurusan bencana untuk menilai dan mengambil langkah yang bersesuaian untuk menangani dan mengurangkan risiko bencana tsunami. Kajian ini adalah untuk menganalisis potensi dan memetakan kawasan risiko tsunami di kawasan persisiran pantai barat Semenanjung Malaysia. Analisis potensi bahaya tsunami bagi penduduk di pantai barat Semenanjung Malaysia khususnya di Kota Kuala Muda, Kedah dilaksanakan menggunakan perisian Tsunami Display Program untuk memodelkan mekanisme pembentukan tsunami, perambatan gelombang dan tahap limpahan tsunami. Seterusnya bagi mengenal pasti risiko iaitu tahap kerentanan sesuatu kawasan terhadap bahaya tsunami, teknologi georuang diaplikasikan untuk menganalisis lokasi kawasan yang berbahaya dan selamat dengan mengambil kira faktor-faktor seperti guna tanah, jarak kawasan daripada persisiran pantai dan permukaan topografi atau kecerunan serta tinggi sesuatu kawasan. Fungsi tindihan lapisan dan pengelasan dalam teknologi georuang digunakan untuk mengelaskan kawasan kepada zon sangat bahaya, zon bahaya, zon sederhana dan zon selamat sekiranya berlaku tsunami. Hasil kajian ini mengenal pasti kawasan berpotensi terjejas selepas bencana iaitu Kampung Kuala Sungai Muda, Kampung Masjid, Kampung Kepala Jalan dan Kampung Padang Salin (Kampung Hujong Permatang) dengan purata jarak daripada garisan pantai kurang daripada 400 m serta peta kawasan berisiko berpandukan tahap kerentanan bencana tsunami di Kota Kuala Muda, Kedah. Sumbangan daripada kajian ini diharap dapat membantu pihak berkenaan dalam urusan persediaan, perancangan dan mitigasi bencana tsunami pada masa akan datang.
Publisher
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Press)
Cited by
1 articles.
订阅此论文施引文献
订阅此论文施引文献,注册后可以免费订阅5篇论文的施引文献,订阅后可以查看论文全部施引文献