Persamaan Latar Belakang dan Perbezaan Prestasi Perniagaan dalam Kalangan Francaisi Milik Keluarga dan Bukan Milik Keluarga di Malaysia
Author:
Hanafiah Mohd Hizam, ,Abd Aziz Nurul Ashykin,
Abstract
Perniagaan francais berkembang pesat di Malaysia khususnya selepas pihak kerajaan melancarkan Program Pembangunan Francais pada tahun 1992, mewujudkan Bahagian Francais pada tahun 1995 dan memperkenalkan Akta Francais 1998. Kini Malaysia memiliki sekitar 870 sistem francais berdaftar dengan 60 buah sistem francais tempatan berjaya menembusi 55 buah negara. Di sebalik perkembangan menarik perniagaan ini, jurang utama kajian adalah amat kurangnya penyelidikan mengenai perniagaan francais milik keluarga dijalankan oleh penyelidik. Justeru, objektif kajian ini adalah untuk meneliti persamaan latar belakang dan perbezaan prestasi perniagaan antara francaisi milik keluarga dan bukan milik keluarga. Kajian tinjauan ke atas 204 usahawan francaisi di Malaysia melalui borang soal selidik telah dijalankan dengan responden terdiri daripada 90 usahawan francaisi milik keluarga dan 114 usahawan francaisi bukan milik keluarga. Bersasarkan analisis statistik, kajian mendapati bahawa faktor latar belakang iaitu tahap pendidikan, pengalaman kerja, jumlah pelaburan dan kebergantungan sumber pendapatan kepada perniagaan francais tidak signifikan antara francaisi milik keluarga dan bukan milik keluarga. Kajian turut mendapati faktor persepsi kejayaan dan niat untuk kekal dalam sistem francais tidak signifikan antara francaisi milik keluarga dan bukan milik keluarga. Namun begitu, francaisi bukan milik keluarga memiliki prestasi perniagaan yang lebih baik dari segi prestasi jualan dan bilangan pekerja, berbanding francaisi keluarga.
Publisher
Penerbit Universiti Sains Malaysia
Subject
Sociology and Political Science,History,Cultural Studies