Affiliation:
1. Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak, 94300 Kota Samarahan, Sarawak, Malaysia
Abstract
Penyelidikan ini menjelaskan tentang kearifan tradisi etnik Iban, iaitu tradisi bertatu. Pengamalan tradisi bertatu dalam etnik Iban dilihat sebagai satu kebudayaan yang unik kerana mempunyai penceritaan dan tujuan yang tersendiri. Simbolisme tatu dengan unsur alam semula jadi melalui konsep “alam takambang jadi guru” sering digunakan untuk menyatakan idea serta makna tentang budaya dan kehidupan. Objektif kajian ini ialah untuk mengenal pasti hubungan alam sebagai guru dalam etnik Iban, membincangkan kepentingan tatu berunsur alam kepada etnik Iban dan menganalisis maksud motif tatu dalam etnik Iban. Penyelidikan ini menggunakan pendekatan kualitatif menggunakan kaedah pemerhatian penuh dan temu bual secara mendalam dengan informan. Hasil kajian mendapati bahawa etnik Iban percaya bahawa alam semula jadi mengajar manusia untuk berfikir secara kreatif. Oleh itu, melalui alam semula jadi, etnik Iban menghasilkan kreativiti yang menggunakan sumber alam pada tradisi bertatu yang menunjukkan kearifan tradisi dalam budaya etnik tersebut. Setiap peristiwa yang berlaku dalam kehidupan etnik Iban tidak dapat dipisahkan dengan alam semula jadi, iaitu mereka percaya bahawa alam semula jadi mempunyai roh, jiwa dan semangat yang perlu dihormati. Nilai estetika pada tradisi bertatu juga dapat dilihat pada motif yang dihasilkan dengan berinspirasikan alam semula jadi. Motif tatu berunsurkan alam semula jadi juga dianggap dapat menyuntik elemen kekuatan, melambangkan status sosial dan pencapaian seseorang dalam pelbagai perkara. Perkara ini menunjukkan bahawa alam semula jadi berperanan sebagai guru atau sebagai panduan bagi etnik Iban dalam menjalani kehidupan seharian mereka.