Author:
Mahadi Maznida,Tengku Mohd Ali Tengku Intan Marlina,Shah Omar Mardian
Abstract
Novel remaja sering memerihalkan keunikan hubungan etnik, kepentingan, dan isu sejagat yang dihadapi oleh masyarakat multikultur di seluruh dunia. Pemerihalan ini memerlukan penerokaan khusus untuk meneliti sejauh mana novel remaja merepresentasikan hubungan etnik. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk menganalisis hubungan etnik dalam novel-novel remaja dari perspektif etika sosiobudaya berlandaskan Teori Etika dalam Sastera. Kajian ini dilakukan secara kualitatif deskriptif. Analisis dan kajian ditumpukan kepada identiti dan latar sosiobudaya, hubungan antara kaum dan fenomena sosiobudaya yang terdapat dalam novel-novel remaja terpilih, iaitu novel Ayah, Nyanyian Musim Rusuh dan Nanyang. Hasil kajian menunjukkan bahawa novel-novel remaja terpilih memainkan peranan penting dalam memperkenalkan hubungan etnik kepada pembaca remaja. Kajian juga membuktikan pemahaman tentang budaya masyarakat dalam novel remaja tidak hanya menyumbang kepada pembangunan literasi remaja, tetapi juga memperluaskan horizon kebudayaan remaja dan membantu memupuk pemikiran kritis dan menyemai semangat muhibah. Kajian ini merumuskan bahawa novel remaja merupakan medium yang berpotensi menyalurkan pesanan etika tentang kepentingan memelihara hubungan etnik. Dicadangkan kajian lanjutan dilakukan ke atas bahan bacaan lain supaya cakupannya lebih komprehensif.
Publisher
Universiti Putra Malaysia